SAHAM TERBAIK SANG IBU BAPA
Daripada sudut pandangan Islam, anak-anak bukan sahaja anugerah dan amanah daripada Allah SWT kepada pasangan suami isteri, tetapi juga menjadi saham akhirat yang berterusan kepada ibu bapa sekiranya dididik dengan ajaran al-Quran dan Sunah. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (Hadis riwayat Muslim)
Oleh kerana anak-anak adalah anugerah yang amat bernilai daripada Allah SWT, maka mereka perlu dibelai, disayangi dan dihargai dengan sebaik-baiknya. Ibu bapa yang sentiasa berusaha untuk mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sehingga menjadi anak yang soleh, taat kepada perintah Allah SWT dan berbakti kepada ibu bapa dijanjikan jaminan rezeki daripada Allah SWT. Sebaliknya jika ibu bapa lalai dan alpa dalam mendidik anak-anak, ia boleh mendatangkan musibah kepada ibu bapa itu sendiri.