TUJUH (7) SEBAB ANDA PERLU MEMBAWA ANAK-ANAK KE TAMAN PERMAINAN!
_______________________________________________________________
‘Playground’ atau taman permainan biasanya direka untuk dikunjungi oleh golongan kanak-kanak untuk bermain. Selalunya taman permainan di taman-taman perumahan mempunyai kawasan yang luas dan direka lanskapnya dengan baik disertai alat-alat seperti buai, jongkang-jongket, ‘monkey bar’ dan banyak lagi. Ingat lagi tak masa kita kanak-kanak dulu? Seronok sangat kalau dapat ke taman permainan!
Taman permainan ni sebenarnya memainkan peranan penting dalam proses penumbesaran kanak-kanak. Impak ketara yang dapat dilihat, jika lebih riang seseorang kanak-kanak itu, maka akan lebih banyaklah dia aktif bermain.
Kepentingan taman permainan ni tak seharusnya diabaikan. Di antara faedah-faedah taman permainan adalah:
1. Memberi kesan positif kepada minda kanak-kanak
Taman permainan merupakan tempat dimana kanak-kanak sangat gembira dan ini memberi kesan positif buat minda mereka. Kegembiraan kanak-kanak jelas kelihatan sebaik mereka tiba di taman permainan. Kesan psikologi ini dapat merangsang sel-sel otak kanak-kanak untuk lebih giat berhubung.
2. Membentuk skil sosial
Kanak-kanak di taman permainan akan membentuk skil komunikasi yang baik apabila mereka bertemu satu sama lain ketika bermain dan skil berinteraksi antara satu sama lain lebih ketara di kalangan kanak-kanak yang kerap ke taman permainan berbanding dengan yang tidak. Bermain bersama, menyelesaikan masalah permainan bersama dan bermain secara berpasukan semuanya antara skilset awal yang baik buat kanak-kanak.
3. Taman permainan menjadikan kanak-kanak aktif
Taman permainan di sekolah boleh memecahkan kebosanan dan dapat menjadikan kanak-kanak aktif. Ini membantu kanak-kanak menjadi lebih cerdas apabila mereka memasuki kelas selepas itu.
4. Membina otot dan tulang yang sihat
Pergerakan aktif di taman permainan akan membantu pembentukan otot dan tulang kanak-kanak yang lebih sihat. Ini tidak akan berlaku sekiranya kanak-kanak tersebut tidak bergerak banyak atau inaktif.
5. Perkembangan kognitif
Ketika bermain, terdapat masalah-masalah yang biasanya perlu diselesaikan dalam permainan mereka mahupun ketika menggunakan alat-alatan di taman permainan dan ini membantu perkembangan kognitif kanak-kanak.
6. Membina kreativiti
Aktiviti-aktiviti di taman permainan biasanya akan membuatkan kanak-kanak lebih kreatif dan seterusnya membantu memberi satu lagi skil kepada kanak-kanak tersebut.
7. ‘Bonding moment’
‘Bonding moment’ membantu kanak-kanak tersebut rapat dengan kedua ibu bapanya. Apabila ibu bapa melayani kerenah anak-anak mereka di taman permainan , interaksi lebih banyak akan berlaku dan ini mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.
Pepatah Inggeris ada menyebut: “All work and no play makes Jack a dull boy” Bermain di taman permainan membawa pelbagai faedah dan seharusnya ianya diseimbangkan bersama aktiviti-aktiviti harian lain seseorang kanak-kanak.